mutakhir

Manfaatkan kemudahan DanaNITA [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Wanita perlu merebut peluang dalam sektor ekonomi dan keusahawan menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (DanaNITA) yang disediakan kerajaan bagi memperkasa kepimpinan wanita khususnya di luar bandar.

Timbalan Menteri II, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Henry Sum Agong berkata, peluang itu ditawarkan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan wanita.

Katanya, program itu tidak hanya dapat memperkasa usahawan wanita sedia ada, malah meningkatkan pendapatan isi rumah.

"Untuk rekod, sejak awal tahun ini sehingga 30 Jun lalu, seramai 57 usahawan wanita sudah menerima pembiayaan DanaNITA ini berjumlah hampir RM1.75 juta.

"Permohonan bagi mendapatkan pembiayaan itu bagi tahun ini masih dibuka kepada individu berkelayakan," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Negeri Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail.

Henry berkata, di bawah DanaNITA, usahawan wanita dikecualikan daripada beberapa syarat asas yang dikenakan dalam skim pembiayaan lain seperti tidak perlu menduduki ujian psikometrik dan tidak diwajibkan membuka akaun semasa.

Katanya, had pembiayaan sehingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik maksimum 10 tahun tertakluk kepada jumlah pembiayaan.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pembiayaan DanaNITA dimanfaatkan 234 usahawan membabitkan peruntukan sebanyak RM6.6 juta.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 3:02pm
d