mutakhir

8 kilometer cari mangsa di Sungai Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang hilang ketika menaiki bot getah di Sungai Pahang berdekatan Kampung Marhum, di sini, memasuki hari kedua, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Komander Operasi Kanan Mohd Ismail Abd Latif berkata, operasi menggunakan 10 bot itu membabitkan 48 anggota pelbagai agensi termasuk penduduk setempat bermula 9 pagi.

Menurutnya, tumpuan pencarian membabitkan jarak lapan kilometer sepanjang Sungai Pahang ke muara Kuala Pahang.

"Penduduk menggunakan pukat tunda untuk mengesan mangsa yang mungkin berada di dasar sungai bermula dari kawasan Sungai Pahang dekat Kampung Marhum hingga ke muara Kuala Pahang.

"Keluasan sungai, arus air yang deras dan kedalaman di kawasan kuala sungai menyukarkan operasi mencari mangsa.

"Selain itu, kelewatan menyedari kehilangan mangsa menyebabkan operasi menjadi sukar dan berharap mangsa tidak hanyut dibawa arus ke laut," katanya dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Jafri Bakri, 32 dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dekat Kampung Marhum ketika menaiki bot getah sendirian kira-kira 9 pagi kelmarin.

Bot mangsa dijumpai berpusing-pusing di tengah Sungai Pahang berhampiran jeti nelayan Kampung Marhum sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis.

Berita berkaitan

  • Mangsa tak pandai berenang
  • Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 3:48pm
    d