mutakhir

Hampir terkena peluru penjenayah dikehendaki

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: "Setiap kali teringat kejadian peluru hampir terkena kepala, saya akan mengucapkan syukur kerana masih dikurniakan usia panjang oleh Allah," kata bekas polis, Mohd Jasin, 86, yang terselamat daripada tembakan penjenayah pada 1967.

Berasal dari Lendu Hilir, Alor Gajah, Mohd berkata kejadian itu berlaku ketika melakukan operasi khas di Seremban pada 5.30 pagi.

Menurutnya, peristiwa itu diibarat seperti masih baharu terjadi walaupun sudah 53 tahun ia berlaku terutama apabila mengimbau kisah nyawanya hampir melayang dalam kejadian terbabit.

"Saya ditugaskan bersama sembilan pegawai menyertai operasi di salah sebuah rumah ibadat di bandar Seremban tidak menyangka secara tiba-tiba penjenayah paling ganas yang dikehendaki muncul di hadapan.

"Ketika penjenayah itu sedang memasukkan peluru, tiba-tiba sebutir peluru terbabit menuju ke kepala saya dan kebetulan juga saya mengelak.

"Hanya kuasa Allah SWT sahaja menyelamatkan saya ketika itu yang tergamam dan lebih awal mengelak sedikit sahaja. Susulan itu dengan pantas saya melepaskan dua das tembakan di bahu dan lengan penjenayah yang akhirnya rebah dan berjaya di tangkap," katanya.

Dalam kejadian itu, Mohd berkata seorang lagi penjenayah cuba melarikan diri namun berjaya di tangkap sekali gus mematahkan sindiket jenayah rompakan dan samun terbesar di bandar berkenaan.

Hasil tindakan dan keberaniannya itu, Mohd menerima wang tunai RM500 bagi menghargai jasanya.

Dia yang mula menyertai pasukan polis pada 1952 dengan pakaian seragam seluar pendek, berstokin tinggi dan bersongkok bulat bermula dengan gaji RM94 sebulan.

Mohd yang lebih mesra di kenali sebagai Pak Sauk dan Darus di kampung terbabit berkata, dia anak nakal pada remajanya namun bertindak menyertai pemilihan polis di Rembau dengan mengayuh basikal dari kampungnya di Lendu ke Alor Gajah sebelum menaiki bas ke Tampin.

Warga emas yang masih sihat itu berkata, dia bersama tiga rakan hadir temu duga dan tidak menyangka hanya dirinya diterima sebelum bersara pada 1989 dengan jawatan terakhir sebagai sarjan mejar.

Pernah berkhidmat di banyak tempat termasuk di Rembau, Sungai Besi, Petaling Jaya, Pulai, Teriang dan Seremban, Mohd berkata dia pernah mengawal keamanan dengan hanya menaiki basikal.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 4:55pm
d