mutakhir

Polis siap siaga berdepan sebarang kekacauan

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersiap sedia menghadapi sebarang kekecohan atau kekacauan sepanjang hari terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seluruh anggota dan pegawai yang terbabit juga sudah ditempatkan di beberapa kawasan mengikut keperluan.

Katanya, setiap penugasan pada hari pengundian sudah dilaksanakan dengan cukup teratur membabitkan hampir 900 keanggotaan.

"Semua pegawai dan anggota berkenaan sudah ditempatkan di lokasi masing-masing sejak jam 3 pagi sehingga lewat malam.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang mendakwa akan adanya kekecohan antara kumpulan beramai-ramai.

"Jika benar polis sudah bersedia untuk melaksanakan sebarang tindakan," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Habibi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat dan orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta supaya melaporkan segera kepada polis.

Katanya, polis juga sedang merangka penugasan untuk menjalankan sekatan jalan raya (SJR).

Sementara itu, Habibi berkata, hasil pemantauan di keseluruhan tujuh DUN di daerah itu mendapati semua pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 5:08pm
d