mutakhir

Tunggu hasil keputusan ujian kedua

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar perlu menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) Covid-19 sekali lagi pada hari ke-13 kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, walaupun ujian pertama yang dijalankan terhadap beliau negatif, namun ujian kedua perlu dilakukan untuk mendapatkan keputusan lanjut.

"Walaupun ujian pertama negatif, kita tetap kena tunggu 14 hari, kalau positif kita akan buat ujian lagi, cuma sekarang ini kita kena tunggu keputusan untuk pengesahan pada hari ke-13 dan lepas itu baru boleh bagi jawapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Negeri Terengganu dan Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Dr Alias turut menyarankan orang ramai yang pulang dari kawasan berisiko dan individu yang mengikuti kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah supaya menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Katanya, langkah itu bagi mengelak pandemik Covid-19 itu menular di Terengganu yang kini masih berstatus zon hijau.

"Banyak kes Covid-19 berlaku di Sabah ketika ini dan saya berpandangan, sesiapa yang balik dari kempen atau apa-apa di Sabah, kena menjalani kuarantin sendiri walaupun dia tidak ada kontak rapat dengan individu positif," katanya.

Semalam, media melaporkan Ahmad Samsuri diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas berlaku kontak dengan dua individu positif Covid-19, beberapa hari lalu.

Berikutan itu, semua program yang membabitkan Ahmad Samsuri ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 5:18pm
    d