mutakhir

Mak cik rasa bersyukur sangat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Alhamdulillah, ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan mak cik bersyukur kerana banyak sumbangan yang diterima," kata Norma Mahmood, 62, ibu kepada Mohammad Hakimi Hakim Mohd Sukri, 26, yang terlantar sejak 13 tahun lalu selepas tumor di bahagian kanan mukanya semakin membesar.

Menurut Norma, selepas kisah anaknya disiarkan Harian Metro, banyak sumbangan diterima sekali gus mampu meringankan bebannya untuk menampung keperluan bulanan mereka.

"Sebelum ini, mak cik hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang diperolehi Hakimi serta sumbangan individu yang prihatin.

"Selain itu, dua lagi anak juga membantu menghulurkan wang, namun sekadar termampu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Besar, Che Latiff, di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Kelab Met Harian Metro diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit yang turut menyampaikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban keluarga itu.

Norma berkata, anak keduanya, Mohd Azam Hidayat, 29, sepatutnya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam kepala, namun mengambil keputusan tidak menjalani pembedahan kerana tidak mahu membebankan keluarga.

"Mohd Azam memberitahu mak cik, biarlah dia dalam keadaan sekarang yang masih boleh bangun dan berjalan. Sekiranya dia menjalani pembedahan dan terlantar, siapa pula akan menguruskan keperluan Hakimi.

"Naluri keibuan mak cik tersentap apabila Mohd Azam rela mengetepikan kesihatannya dan bergantung kepada ubat tahan sakit sekiranya mengalami sakit kepala," katanya.

Katanya, dia juga diuji dengan masalah kesihatan apabila mempunyai masalah usus dan baru menjalani pembedahan memasukkan semula usus pada Februari lalu selain perlu menghadiri temujanji di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) setiap tiga bulan sekali.

"Sebelum ini mak cik melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan, namun mengambil keputusan berhenti kerja sejak 10 tahun lalu disebabkan masalah kesihatan selain tiada orang boleh menguruskan keperluan Mohammad Hakimi.

"Alhamdulillah, rumah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak empat tahun lalu, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kerana tidak lagi perlu membayar sewa rumah pada setiap bulan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohammad Hakimi mengalami cacat kekal dan hilang upaya selepas menghidap Neurofibromatosis (sejenis penyakit saraf) selain mempunyai lebihan air di kepalanya.

Mohammad Hakimi menderita penyakit itu sejak lahir selepas doktor mengesan terdapat biji kecil di bahagian kelopak mata kanannya.

Disebabkan lebihan air di kepala, mata sebelah kanannya tidak lagi berfungsi menyebabkannya tersembul keluar ketika berusia tiga bulan sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang kesemua mata kanannya di HRPZII.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 5:37pm
d