mutakhir

Pelajar TKC dikuarantin

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC) Bandar Enstek, Nilai, dekat sini dikuarantin selepas menjadi kontak rapat bapanya yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah, baru-baru ini.

Pengetuanya, Anismah M Noh berkata, lelaki itu bersama isteri dan dua lagi anaknya datang ke TKC pada 19 September lalu, untuk menghadiri program Town Hall dan Hari Pelaporan.

Katanya, pihak TKC menetapkan ibu bapa yang berasal dari Kedah dan Sabah itu tidak dibenarkan menghadiri program berkenaan, bagaimanapun lelaki terbabit masuk ke kolej untuk menghantar isterinya.

"Dia bersama dua lagi anaknya kemudiannya pergi ke sebuah pasar raya di Nilai sebelum datang kembali ke kolej untuk menjemput isterinya dan turut menghantar anaknya yang belajar di tingkatan satu, di kolej ini ke asrama.

"Bagaimanapun, ketika di dalam kereta, dia sentiasa memakai pelitup muka dan tidak bersalaman dengan anaknya. Jangka masa mereka bertemu juga singkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anismah berkata, pelajar terbabit diasingkan serta merta dan setakat ini tidak menunjukkan sebarang gejala seperti batuk dan selsema.

Beliau berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah turut dipanggil ke kolej semalam dan membawa pelajar berkenaan ke pusat kuarantin di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Bandar Enstek, di sini, selama 14 hari.

"Susulan itu, aktiviti yang membabitkan bilangan pelajar yang ramai di kolej ini sudah dibatalkan dan proses sanitasi di kelas serta asrama pelajar terbabit turut dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Anismah berkata, keputusan ujian swab pertama pelajar terbabit yang diperoleh hari ini adalah negatif.

Menurutnya, pihaknya memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang fakta yang tidak tepat kerana boleh mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap TKC.

"Ini susulan tular di laman sosial seorang pelajar TKC yang positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 5:52pm
    d