mutakhir

Misteri pondok plastik dalam hutan dibongkar [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kubang Pasu: Tiga pondok plastik bertongkat kayu di tengah hutan simpan Sungai Badak di Bukit Kayu Hitam, di sini, dikesan dijadikan lokasi transit untuk menyimpan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran.

Lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari jalan utama itu terbongkar selepas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan serbuan, semalam.

Dalam pemeriksaan pada 11 pagi itu, anggota polis menemui 1,300 kilogram (kg) daun ketum yang siap dibungkus dalam plastik lutsinar di dalam pondok berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lokasi pondok itu terletak hanya 500 meter dari sempadan Thailand dan pihaknya percaya berkemungkinan daun ketum itu mahu diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dan tinjauan dilakukan hampir enam jam di lokasi mendapati tiada sesiapa yang datang mengambil daun ketum berkenaan.

"Berikutan itu, anggota kami merampas daun ketum terbabit di mana 15 guni sudah dibawa turun dari lokasi.

"Manakala 80 guni daun ketum lagi dalam proses untuk dibawa turun kerana anggota kami menghadapi cabaran disebabkan kawasan itu terletak di pedalaman selain di kawasan hutan simpan," katanya .

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Asyar dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim.

Hasanuddin berkata, rampasan daun ketum itu dianggarkan lebih RM13,000 tetapi mampu mengaut keuntungan berganda jika dijual di negara jiran.

Menurutnya, walaupun tiada tangkapan dilakukan, namun ia antara kejayaan terbesar membabitkan rampasan daun ketum, tahun ini.

Katanya, pihaknya tidak menafikan pembabitan sindiket, namun siasatan masih dilakukan setakat ini.

"Kesemua daun ketum berkenaan dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 6:35pm
d