mutakhir

Anak peluru tersangkut di tulang belakang

Oleh Norzamira Che Noh

Kuala Langat: Sebanyak lima kesan tembakan ditemui pada badan pengawal peribadi seorang ahli perniagaan yang diserang oleh dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kesan tembakan itu ditemui hasil pemeriksaan doktor terhadap lelaki berkenaan.

"Selain daripada lima kesan tembakan itu, turut dikesan pada badan mangsa adalah sembilan kesan lubang pada bahagian badan.

"Manakala majikan pengawal peribadi itu didapati terkena dua das tembakan di masing-masing di lengan kiri dan rusuk kanan.

"Kedua-dua mereka juga mempunyai satu anak peluru yang tersangkut di bahagian tulang belakang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua kedua-dua mangsa kini masih dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagaimanapun dilaporkan stabil.

Katanya, buat masa ini doktor pakar sedang melakukan pemeriksaan lanjut sebelum melakukan pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang terkena badan kedua-dua mangsa.

Semalam, Azizan memaklumkan sekurang-kurangnya sembilan das tembakan dilepaskan oleh dua suspek berkenaan berdasarkan penemuan sembilan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari semalam, tiga pelajar sekolah turut mengalami kecederaan selepas dirempuh kereta yang dipandu oleh pengawal peribadi itu.

Berita berkaitan

Ganas! 9 das tembakan dilepaskan pembunuh

Mangsa tembak rempuh pelajar sekolah

Kesan tembakan di badan mangsa kemalangan

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 6:58pm
d