mutakhir

Dua sesak nafas, empat trauma hidu gas bocor

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Hutan Melintang: Enam individu dikejarkan ke hospital dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor di sebuah premis memproses produk makanan berasaskan ikan di Jalan Tepi Sungai, di sini, hari ini.

Difahamkan, dua mangsa mengalami sesak nafas manakala empat lain trauma kerana terkejut dengan kejadian itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.39 malam.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Anggota yang tiba di lokasi mendapati berlaku kebocoran bahan kimia tetapi ia sudah ditampal oleh pekerja kilang sebelum bomba tiba.

"Maklumat awal diterima mendapati dua mangsa mengalami sesak nafas dan empat lain trauma sebelum kesemua mereka dihantar ke hospital," katanya.

Katanya, siasatan lanjut dan operasi masih dijalankan di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 9:09pm
d