mutakhir

37 lokasi tanah, jalan runtuh ke Pos Tuel

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Penduduk di perkampungan Orang Asli Pos Tuel, dekat sini, berdepan kemungkinan terputus hubungan apabila terdapat 37 lokasi berlaku runtuhan jalan dan tanah sejak dua bulan lalu.

Daripada jumlah itu, 10 daripada paling teruk kerana menurut separuh jalan dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna.

Tinjauan mendapati, rekahan dan runtuhan serisu berlaku di sepanjang jalan sejauh 20 kilometer dari Pos Hendrop ke Pos Tuel itu.

Penduduk Orang Asli Pos Tuel, Along Adu, 47, berkata kejadian banjir lumpur pada dua bulan lalu menyebabkan runtuhan semakin ketara kerana sebelum ini hanya terdapat tiga lokasi runtuhan sahaja.

"Jalan berturap ke Pos Tuel itu baru siap dibina lebih tiga tahun lalu, tetapi sudah tidak selamat digunakan penduduk Orang Asli kerana kerosakan teruk.

"Kami perlu lebih berhati-hati melalui jalan berkenaan terutama apabila hujan lebat berikutan keadaan jalan berselut dan licin boleh mengundang bahaya," katanya.

Katanya, jalan itu menjadi perhubungan penting penduduk Orang Asli di 11 kampung sekitar Pos Tuel dan berulang-alik menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop setiap hari.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya sudah maklum mengenai masalah berkenaan dan pegawai daripada beberapa agensi berkaitan sudah melihat sendiri kerosakan jalan itu.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan tindakan segera diambil jabatan kerajaan terbabit bagi membaikinya sebelum berlaku kejadian lebih buruk.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 12:55pm
d