mutakhir

Tangguh pendaftaran bersemuka penuntut dari zon merah

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Institusi pengajian tinggi (IPT) disaran menangguhkan pendaftaran kemasukan penuntut baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sebaliknya, proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan penuntut berkenaan boleh dilakukan secara dalam talian.

"Pelajar boleh pulang ke kampus masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada setelah keadaan kembali pulih.

"Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi penuntut yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukannya akan kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing.

Beliau turut menasihati penuntut agar mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 ketika berada di kampus masing-masing, walaupun semua IPT sudah diarah memastikan pelaksanaan aktiviti akademik yang mematuhi SOP sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 12:57pm
    d