mutakhir

Cuepacs mahu bonus dalam bentuk gaji bulanan [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dalam bentuk gaji bulanan berbanding bantuan khas kewangan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 akan datang.

Presidennya Adnan Mat berkata, pihaknya dihubungi Kementerian Kewangan untuk mengadakan perbincangan bagi mengetahui apa keperluan 1.2 juta penjawat awam pada ketika ini.

Katanya, berikutan itu, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan berhubung permintaan penjawat awam mahu pemberian bonus dibuat dalam bentuk gaji bulanan dan bukan bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

"Pada setiap tahun secara tradisinya penjawat awam akan memohon bonus kepada kerajaan.

"Sebagai penjawat awam, kami sudah melaksanakan tugas dengan baik walaupun ketika kerajaan berubah dan pandemik Covid-19 melanda negara.

"Justeru, tidak ada sebab kerajaan tidak melihat penjawat awam dan menimbang pemberian bonus," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan, di sini, hari ini.

Katanya, pada tahun sebelumnya Cuepacs memohon bonus diberikan secara tiga bulan gaji, namun kerajaan tetap memberikan bantuan khas kewangan RM500.

"Oleh itu, pada tahun ini kami tidak mahu lagi menyebut berapa bulan gaji dan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat untuk fokus Belanjawan 2021.

"Tidak adil jika kerajaan mengulangi lagi pemberian bantuan khas kewangan RM500 apabila penjawat awam sudah melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

"Kami juga berharap keluarkan perkataan bonus, dan bukannya lagi bantuan khas kewangan seperti lazimnya," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs juga berharap kakitangan kontrak yang bertugas di Kementerian Kesihatan dapat diserap ke jawatan tetap memandangkan lebih 10,000 waran jawatan tetap diwujudkan untuk keperluan kementerian berkenaan.

"Kami menerima maklum balas daripada kakitangan barisan hadapan bahawa masih ada kakitangan dilantik secara kontrak pada masa ini.

"Kami berharap mereka dapat dilantik ke jawatan tetap sebagai motivasi di atas kecemerlangan tugas yang dijalankan ketika pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 5:09pm
    d