mutakhir

Hebat Raqiib

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Pada mulanya, risau dan takut bawa anak menyertai ekspedisi ke Gunung Nuang apatah lagi dia berusia lapan tahun," kata Nurul Hida Khamis, 35.

Ibu kepada Raqiib Qausar Mohd Hafiz itu tidak menyangka anak bongsunya berjaya menyempurnakan pendakian Gunung Nuang yang berketinggian 1,493 meter walaupun masih muda.

Nurul Hida berkata, ekspedisi itu dianjurkan bersama tujuh rakannya termasuk jurupandu berlesen sempena Hari Malaysia, 16 September lalu.

"Sepanjang perjalanan dia tidak banyak ragam malah bersemangat dan tidak henti-henti bertanyakan pelbagai soalan kepada orang dewasa mengenai apa yang dilihatnya.

"Kami menyangka perjalanan akan mengambil masa. Namun, semua terkejut tahap kecergasan Raqiib sama seperti kami walaupun itu pengalaman pertamanya.

"Dalam pendakian itu, kami mengambil masa empat jam untuk sampai ke puncak dan tiga jam untuk sampai ke air terjun Gunung Nuang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selepas foto itu dikongsi di Twitter miliknya dan aplikasi Whatsapp kelas, anaknya sering dipuji guru dan rakannya di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi Klang, Selangor.

"Ketika berada di puncak saya tukarkan baju sukan yang dipakainya kepada baju seragam sekolah sebagai tanda penghargaan atas pencapaiannya.

"Rakan-rakan dan guru-guru memuji kesungguhan Raqiib mendaki gunung," katanya.

Nurul Hida yang juga Pengurus Cawangan Agensi Pengangkutan dan Perkapalan di Pelabuhan Klang, Selangor berkata, Raqiib Qausar sebenarnya bukanlah kanak-kanak yang aktif bersukan pada awalnya.

"Kebiasaannya dia hanya duduk rumah kerana saya bimbang keselamatannya bermain di luar.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami banyak habiskan masa di rumah sehingga televisyen dan gajet menjadi peneman seharian," katanya.

Menyedari hal itu, Nurul Hida bermula perlahan-lahan mendedahkan Raqiib Qausar dengan ekspedisi meredah hutan di Sungai Lepoh, Hulu Langat.

"Dalam ekspedisi itu, saya berjumpa dengan seorang jurupandu gunung, Zulkefly Zainal. Dia yang meyakinkan saya bahawa Raqiib mampu mendaki gunung melihat kepada kecergasan dan langkah kakinya.

Disebabkan itu, saya berani membawa Raqiib menyertai ekspedisi ke Gunung Nuang yang juga dipantau oleh Zulkefly yang mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti pendakian," katanya.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu berkata, aktiviti mengembara di hutan adalah terapi baginya dalam melepaskan tekanan kehidupan.

"Kali pertama mendaki dua tahun lalu di Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor membawa kepada titik mula minat saya dalam aktiviti ini.

"Ketika mendaki memang penat namun selepas berada di puncak semua penat lelah dan masalah yang berada di fikiran seolah-olah lenyap.

"Kehijauan daun dan pemandangan indah berada di puncak itu bagaikan kepuasan luar biasa," katanya.

Nurul Hida adalah ahli kumpulan penggiat sukan lasak, Hikers Santai yang aktif menganjurkan ekspedisi pendakian gunung.

Katanya, dia merancang membawa Raqiib Qausar ke ekspedisi mendaki gunung atau bukit lain.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 5:17pm
d