mutakhir

Cari pasal tunjuk isyarat lucah kepada polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Seorang penumpang e-hailing ditahan selepas menunjukkan isyarat lucah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya di Kota Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam di sekatan jalan raya berkenaan.

"Kejadian berlaku ketika pemeriksaan dijalankan ke atas kereta e-hailing jenis Perodua Bezza.

"Suspek yang juga penumpang menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis yang bertugas di lokasi.

"Polis kemudian cuba memeriksa suspek namun suspek yang bekerja sebagai pegawai bank itu tidak memberikan kerjasama," katanya.

Menurutnya, suspek juga bertindak agresif sehingga memaksa polis melakukan tindakan kekerasan minimum ketika melaksanakan tangkapan.

"Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 5:43pm
d