mutakhir

Tiada lagi bunyi petikan gitar bapa...

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: "Bapa mengadu sesak nafas dan sakit dada beberapa minit sebelum kereta dipandunya terbabas," kata Chin Kim Chang, 53, berhubung kejadian kemalangan maut yang menyebabkan kematian bapanya, Chin Ah Kaw, 74.

Menurut Kim Chang, bapanya Ah Kaw mungkin mengalami serangan jantung ketika memandu dan gagal mengawal kenderaan dan jatuh ke dalam gaung serta meninggal dunia.

"Ibu saya, Lai Nyee Moi yang turut berada di dalam kereta ketika itu menasihatinya segera mengambil ubat sakit jantung diletakkan dalam laci kenderaan.

" Namun bapa memberikan alasan kediaman mereka hanya kira-kira 1 kilometer sahaja lagi. Ketika itu bapa sudah tidak sedarkan diri dan menyebabkan kenderaan yang dipandunya jatuh ke dalam gaung," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.40 malam semalam itu, Ah Kaw disahkan meninggal dunia selepas kereta Proton Saga dipandunya memasuki gaung sedalam tiga meter di Taman Anggerik di Gemas Baharu di sini.

Manakala isterinya, Lai, 74, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) Kim Chang berkata, dia terkejut dengan kejadian kerana bapanya baharu sahaja berjumpa rakan lamanya di sebuah kafe di bandar Segamat.

"Sebelum kejadian kemalangan itu, bapa saya seorang 'otai' bermain gitar baharu sahaja berjumpa rakan-rakan dan menghiburkan mereka dengan petikan gitarnya.

"Mendiang turut diiktiraf oleh rakannya sebagai pemain gitar terbaik di Segamat selain mempunyai vokal yang baik," katanya.

Menurutnya, upacara persemadian akan diadakan dalam masa terdekat.

"Kami tiga adik beradik kehilangan seorang bapa yang ceria. Kini tiada lagi kedengaran petikan bunyi gitar bapa buat hiburan keluarga," katanya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat mengesahkan kejadian itu dan berkata ia disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Maut kereta jatuh gaung

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 6:19pm
d