mutakhir

KKM tambah kakitangan di KLIA, KLIA 2

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA dan KLIA 2).

Ia susulan peraturan baru yang dikuatkuasakan bermula hari ini bagi melakukan saringan Covid-19 terhadap penumpang yang tiba dari Sabah.

KKM dalam Facebook rasminya memaklumkan, pihaknya menambah kakitangan di KLIA dan KLIA2 untuk menjalankan ujian saringan kepada semua pengembara dari Sabah yang tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan domestik.

"Peraturan baharu itu bermula hari ini dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO)," katanya.

Sebelum ini terdapat rungutan berhubung masalah kesesakan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan berikutan kekurangan kakitangan KKM.

Semalam, KKM mengumumkan individu yang pulang dari Sabah akan menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa bermula hari ini sehingga 10 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu berkenaan.

"Mereka diwajibkan untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan.

"Mereka juga akan menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO),"katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 11:43pm
    d