mutakhir

Operasi bahagian proses sejuk beku kilang makanan diarah henti

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Hutan Melintang: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis kepada premis memproses produk makanan berasaskan ikan di Jalan Tepi Sungai di sini, susulan kebocoran gas ammonia, Sabtu lalu.

JKKP dalam kenyataan hari ini berkata, notis larangan itu bagi menghentikan operasi di bahagian proses penyejuk bekuan di premis itu hingga siasatan lengkap dijalankan dan tindakan penambahbaikan dibuat oleh majikan.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada 5.15 petang menyebabkan enam pekerja dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut.

"Susulan itu, JKKP Perak menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu semalam, dan siasatan awal mendapati gas ammonia terbebas di bahagian proses penyejuk bekuan apabila penutup atas pemampat omboh mengalami keretakan dan pecah.

"Pengujian gas dilakukan oleh pegawai dari Bahagian Higien Industri dan Ergonomik dari JKKP Ibu Pejabat mendapati bacaan gas ammonia melebihi had PEL 25ppm pada bahagian penutup atas pemampat omboh yang sudah ditampal oleh pihak kilang," katanya.

Bagaimanapun katanya, bahagian itu retak dan pecah masih belum dikenal pasti.

Menurut kenyataan itu, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja atau orang awam.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko, seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan. Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua mangsa mengadu sesak nafas manakala empat lain trauma kerana terkejut dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor di premis berkenaan.

Berita berkaitan

Dua sesak nafas, empat trauma hidu gas bocor

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 10:19am
d