mutakhir

MB Perlis jalani kuarantin di rumah

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mula menjalani perintah kuarantin sehingga 8 Oktober berikutan baru pulang dari Sabah, Sabtu lalu.

Azlan berkata, beliau sudah menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), hari ini bersama pengawal peribadinya yang turut berkunjung ke Sabah.

Menurutnya, beliau mengambil langkah awal dan menjalani perintah kuarantin sejurus sampai di Perlis sekembalinya dari Semporna, Sabah.

"Ya, saya sedang (menjalani) kuarantin sejak tiba di Perlis pada 26 September.

"Pagi tadi saya pergi buat ujian Covid-19, keputusan akan diketahui dalam satu hari lagi dan doktor nasihatkan saya untuk melakukan kuarantin di rumah sehingga 8 Oktober.

"Jika ujian negatif, saya tidak perlu sambung kuarantin dan jika positif, kuarantin terus hingga 8 Oktober," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 150 kes baharu dan satu kematian serta mengenalpasti dua kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Buang Sayang di Sipitang dan Kluster Kampung Sakong di Semporna.

Sebelum ini, enam kluster dikenal pasti di Sabah iaitu Kluster Benteng LD, Bangau-Bangau, Bakau, Pulau, Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 2:47pm
    d