mutakhir

Mayat tanpa identiti ditemui terapung

Oleh Erika George

Bintulu: Mayat tanpa identiti ditemui terapung di Kuala Sungai Kemena di sini, pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Timbalan Penguasa Bomba I Christus Buson berkata, mayat yang dipercayai seorang lelaki belum diketahui identiti itu dilihat terapung oleh orang awam di kawasan berkenaan.

"Sejurus menerima panggilan pada 8.20 pagi, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Herman Main ke lokasi kejadian bagi menjalankan khidmat khas mengeluarkan mayat dari sungai," jelasnya.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian pada 8.25 pagi, pasukan bomba mendapati terdapat mayat terapung di tengah sungai di kawasan belakang sebuah hotel tepi sungai.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian itu dan dipercayai sudah lemas beberapa hari serta kaki kanannya dipercayai sudah dibaham binatang buas.

"Anggota mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mayat terbabit.

"Mayat itu kemudiannya dibawa dengan alat pengusung khas dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Difahamkan bahawa mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 3:06pm
d