mutakhir

Didenda RM10,000 cuba rasuah polis

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Seorang pemandu lori didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan cuba merasuah pegawai polis ketika ditahan kerana memiliki 9,506 liter petrol tanpa lesen sah pada 2014.

L Gopalakrishnan, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara rasuah menawarkan suapan wang tunai RM450 kepada Inspektor Norfaizl Mohd yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, sebagai dorongan tidak diambil tindakan undang-undang.

Ketika kejadian, Gopalakrishnan disyaki memiliki barangan kawalan iaitu 9,506 liter petrol tanpa lesen sah di Jalan Kuala Benut, Sungai Karangan, Kulim, pada 3.30 petang, 16 Oktober 2014.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sembilan bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Gopalakrishnan dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berikutan menanggung isteri dan seorang anak masih menuntut di universiti.

Murtazadi kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 3:24pm
d