mutakhir

'Tolong cari 2 lelaki dilaporkan hilang'

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Simpang Ampat, di sini, pada November tahun lalu dan Julai lalu.

Azli Majid, 42, yang bekerja sambilan di kelab golf dekat Bukit Gantung, Georgetown dilaporkan hilang pada 18 November tahun lalu selepas keluar menunggang motosikal Yahama Ego berwarna ungu dengan plat PNX 940.

Ibu mangsa memaklumkan anaknya itu adalah seorang pesakit mental dan keluar rumah dengan membawa beg pakaian tanpa memaklumkan destinasi ditujunya.

Manakala, Shalee Noi, 46, dilaporkan hilang pada 2 Julai lalu selepas memberitahu isterinya dia pergi ke sebuah wat Siam untuk menenangkan fikiran.

Jurucakap polis berkata, sebelum itu, Shalee bersama isterinya keluar ke bank untuk membuat semakan Amanah Saham Berhad (ASB) milik ibunya, tetapi mendapati tiada wang di dalam akaun berkenaan.

"Isterinya bertanyakan mengenai wang terbabit, namun dia tidak memberitahunya, sebaliknya menghantar isterinya pulang ke rumah mereka sebelum keesokan harinya menghubungi isterinya supaya mengambil kereta diparkir di Balai Polis Tasek Mutiara.

"Apabila isterinya tiba didapati suaminya tiada dan ketika dihubungi, lelaki itu memaklumkan mahu menenangkan fikiran serta ingin membuang dosa di sebuah wat Siam.

"Ketika wanita itu menghubungi semula suaminya, panggilan sudah tidak berjawab dan dia datang membuat laporan kerana bimbang terjadi apa-apa terhadap suaminya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat terhadap kedua-dua mangsa dilaporkan hilang diminta menghubungi Sarjan Rosdhi Mohd Sali di talian 04-5887300 atau 012-5764190.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 3:44pm
d