mutakhir

Pelajar zon merah daftar dalam talian

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menangguhkan pendaftaran secara bersemuka bagi pelajar baharu dan lama dari Sabah serta kawasan yang berada dalam zon merah Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pihak universiti akan mengeluarkan notis kepada mengenai penangguhan pendaftaran itu, hari ini.

"Pelajar-pelajar dari zon merah diminta untuk melakukan pendaftaran secara dalam talian serta meneruskan mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) di rumah masing-masing.

"Kita tidak benarkan mereka ke kampus sehingga keadaan bertambah baik kerana bimbang wujudnya penularan dalam kampus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kelengkapan Pengajaran dan Pembelajaran daripada Kedutaan Besar China di Malaysia kepada UiTM, di sini, hari ini.

Hadir menyerahkan peralatan berkenaan adalah Menteri di Kedutaan Besar China, Tang Rui.

Dalam majlis berkenaan UiTM menerima tiga papan pintar (smart board), dua komputer riba serta perisian Huawei yang bernilai RM410,000.

Mohd Azraai berkata, arahan (pendaftaran dalam talian) juga tertakluk kepada pelajar yang tinggal di semenanjung tetapi belajar di kampus UiTM Sabah.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menteri Pengajiannya, Datuk Dr Noraini Ahmad dilaporkan berkata kementerian mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Azraai memaklumkan universiti berkenaan akan melaksanakan Istiadat Konvokesyen secara norma baharu berikutan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Katanya, istiadat berkenaan dijadualkan berlangsung pada November ini dan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan khusus mengenainya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 4:02pm
    d