mutakhir

Dua tokan dadah kena cekup

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah kondominium di Taman Kuchai, di sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek berusia 50 dan 35 tahun itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan dilakukan.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai jenis dadah antaranya serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 1,522 gram, ketamin 82 gram dan ganja seberat 88 gram.

"Selain itu, polis turut menemui dadah jenis Eramin 5 sebanyak 50 biji dan pil ekstasi sebanyak 76 biji," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shokri berkata, semakan rekod terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang sejak sebulan lalu.

"Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamin.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah terbabit bernilai RM106,038 yang mampu dibekalkan kepada 1,821 pengguna," katanya.

Katanya, suspek direman lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 4:50pm
d