mutakhir

Tapir betina ditemui mati di tepi jalan

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Tapir betina ditemui mati di tepi jalan berhampiran Felda Kahang Barat dekat sini, dipercayai dilanggar kenderaan kira-kira 8 pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor Salman Saaban berkata, sepasukan anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kepastian selepas menerima maklumat penduduk dan mendapati seekor tapir terbaring di tepi jalan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati tapir seberat kira-kira 350 kilogram itu mengalami kecederaan di kepala kesan dipercayai kesan dilanggar.

"Tapir ini dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Hutan Simpan Kluang dan keluar ke jalan berhampiran kawasan berkenaan.

"Keadaan jalan yang lurus selain gelap pada waktu malam atau awal pagi dipercayai menjadi punca utama berlakunya kemalangan itu," katanya.

Menurut Salman, tapir berkenaan kemudiannya dilupuskan dengan cara menanamnya di lokasi berhampiran kawasan kejadian.

"Kejadian tapir mati akibat dilanggar kenderaan di jalan raya seperti ini adalah kali ketujuh dilaporkan.

"Untuk itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di waktu malam khususnya apabila melalui kawasan berhampiran hutan atau habitat hidupan liar," katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 4:54pm
d