mutakhir

Saringan Covid-19 di KLIA lebih lancar [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Sepang: Penambahbaikan sudah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memudahkan prosedur saringan Covid-19 bagi penumpang dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Walaupun ada sesetengah penumpang perlu menunggu lebih lama untuk ujian calitan namun keadaan lebih teratur berbanding hari pertama prosedur dijalankan.

Penumpang yang tiba akan diminta mengisi borang deklarasi kesihatan dan perlu menunggu sebelum dibawa ke ruang saringan untuk 30 orang setiap kumpulan.

Bagi menambah keselesaan, penumpang juga dibekalkan makanan dan air mineral sebelum dan selepas saringan dijalankan petugas KKM.

Penumpang dari Keningau, Sajiah Wasimin, 48, berkata, dia memahami sekiranya perlu menunggu kerana jumlah penumpang yang ramai tiba serentak dari Sabah.

Katanya, KKM dan agensi lain sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan penumpang dari Sabah menjalani saringan Covid-19 dalam keadaan yang selesa.

"Ini prosedur baharu dan penumpang perlu faham kekangan yang dihadapi agensi terbabit sehingga ada yang perlu menunggu.

"Saringan hari ini berjalan lancar dan KKM sudah tambah baik prosedur serta jumlah kakitangan.

"Terima kasih kerana masih terus berbakti kepada negara untuk memastikan rakyat selamat dari Covid-19," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Secara keseluruhan, ujian saringan berjalan lancar dan ada beberapa penumpang yang ditemui hanya mengambil masa kurang satu jam.

Prosedur baharu itu mewajibkan semua individu yang tiba dari Sabah menjalani saringan di pintu masuk domestik dan antarabangsa bermula Ahad lalu hingga 10 Oktober.

Ia susulan peningkatan mendadak kes individu yang pulang dari Sabah positif Covid-19 terutama mereka yang mempunyai rekod perjalanan ke pantai timur negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 10:31am
    d