mutakhir

Speaker DUN Kedah jalani kuarantin Covid-19

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Speakar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Juhari Bulat mula menjalani perintah kuarantin selama 14 hari bermula hari ini, selepas menjadi kontak rapat individu disahkan positif Covid-19 pada majlis rasmi yang dihadirinya kelmarin.

Juhari berkata, beliau baharu sahaja menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuah, pagi tadi.

"Saya difahamkan ada individu yang hadir ke majlis itu baharu dari Sabah dan positif Covid-19, jadi saya diminta menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas saringan pagi tadi. Keputusan saringan saya tak pasti bila dapat.

"Ramai lagi yang berada di dalam majlis itu juga diarahkan menjalani ujian saringan hari ini. Saya bukan disahkan positif lagi, saya hanya menjalani kuarantin 14 hari dan masih menunggu keputusan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, seorang pegawai khas kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) disahkan positif selepas pulang dari Sabah.

Katanya, pegawai terbabit sudah dimasukan ke hospital untuk rawatan, manakala EXCO berkenaan sudah menjalani saringan dan sedang menjalani kuarantin.

"Mengikut prosedur jika kita duduk rapat dan dalam tempoh yang agak lama dengan individu yang positif Covid-19, maka selepas ujian saringan kita perlu jalani kuarantin selama 14 hari.

"Tetapi jika berada jauh dan tempoh sekejap bersama majlis dengan individu positif Covid-19, kita hanya perlu menjalani kurantin beberapa hari sahaja selepas saringan dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Hayati berkata, pihaknya belum memperolehi maklumat mengenai keputusan saringan Covid-19 EXCO terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 12:56pm
    d