mutakhir

Semoga berjaya Mohd Haikal...

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: "Hampir enam bulan saya hilang arah hidup apabila ibu dan ayah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Mac lalu.

"Saya duduk berseorangan di rumah peninggalan mereka (ibu dan ayah) dan menguruskan diri sendiri termasuk makan minum sehingga seorang kawan mengajak tinggal bersama di Sabak Bernam," luah pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Jalan Haji Muhammad, Kampung Batu 40, Mohd Haikal Chu, 16.

Mohd Haikal atau nama asalnya, Chu Kok Yoong yang berasal dari Ulu Beranang, Lenggeng, Negeri Sembilan berkata, sejak itu dia berazam untuk mendalami agama Islam bagi mengisi kekosongan di hati selain mengubati kerinduan terhadap kedua ibu bapanya.

Katanya, keputusan memeluk agama Islam sejak Ogos lalu menjadi penguat semangat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai saudara baharu dan menggapai cita-citanya mahu menjadi pendakwah seperti Ustaz Ebit Lew.

"Mendiang ayah dan ibu (Chu Foot Keong, 47, dan Aling Arissa) terbabit kemalangan apabila motosikal mereka melanggar belakang lori di Kilometer 38, Jalan Kuala Lumpur-Seremban, 13 Mac lalu.

"Ayah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibu pula meninggal dunia dua hari kemudian ketika menjalani pembedahan di Hospital Kajang.

"Pada mulanya, saya sukar menerima hakikat mereka pergi dalam sekelip mata. Bagaimanapun, Allah memudahkan perjalanan hidup apabila saya tinggal bersama rakan di sini (Sabak Bernam) dan kemudian diambil sebagai anak angkat," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Hadir sama, Pengetua Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Mohd Sharif Musa.

Dalam pada itu, Mohd Haikal yang juga anak tunggal berkata, dia bersyukur apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail prihatin dengan nasib dialami dan memasukkannya ke maahad itu.

"Sebelum ini, saya tidak bersekolah kerana membantu ayah dan ibu mengutip besi buruk. Apabila diberikan peluang ini, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi masa depan.

"Malah, mendiang ayah dan ibu yang menjaga saya sejak dari kecil dan kini, saya perlu berdikari dengan menguruskan diri sendiri.

"Syukurlah rakan dan guru di sini sedia membantu saya yang sebatang kara," katanya.

Sementara itu, Mohd Sharif berkata, pihaknya mengalu-alukan pelajar seperti Mohd Haikal menuntut di maahad berkenaan.

"Alhamdulillah, saya lihat dia (Mohd Haikal) bersungguh-sungguh untuk mempelajari al-Quran dan Alim (pengajian berlandaskan syariah) meskipun baru sebulan memeluk Islam.

"Saya berharap dia dapat menyesuaikan diri di maahad ini dan mencapai cita-citanya sebagai pendakwah," katanya.

Dalam pada itu, Rizam menerusi status di Facebook miliknya berkata, beliau mendaftarkan Mohd Haikal di maahad itu, semalam.

"Sama-sama kita doakan semoga adik Mohd Haikal agar menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan agama," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 3:46pm
d