mutakhir

UMK tangguh kemasukan penuntut Sabah, zon merah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil langkah drastik dengan menangguhkan kemasukan penuntut baharu dan lama secara bersemuka dari Sabah dan zon merah Covid-19.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK Prof Dr Mohd Rafi Yaakob berkata, penangguhan juga dilakukan terhadap individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.

Menurutnya, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

"Proses pendaftaran pelajar baharu dan lama dari Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali ke UMK mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih.

"Bagi pelajar baharu dan lama yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dan zon merah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pendaftaran juga ditangguhkan kemasukan ke UMK seperti saranan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan zon merah adalah kekal seperti yang dijadualkan dan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Justeru, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan mahasiswa UMK dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak Covid-19 di UMK dengan mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 4:55pm
    d