mutakhir

Koperal polis nafi gagal hadir bertugas

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan gagal hadir bertugas selama 50 hari berturut-berturut tanpa sebab munasabah.

Tertuduh, Mohamad Iskandar Mahusin, 36, didakwa tidak hadir bertugas dari 23 Jun hingga 11 Ogos lalu mengikut Seksyen 86 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Balai Polis Pudu dalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM3,500 namun Mohamad Iskandar yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia sudah tidak bergaji dan mempunyai masalah sakit jantung.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 November depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan tertuduh sudah digantung tugas.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 5:07pm
d