mutakhir

Cedera ditanduk kerbau liar

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: "Kejadian itu berlaku sangat pantas, kerbau itu tiba-tiba naik angin serta menjadi agresif dan menyerang saya," kata penangkap kerbau liar, Razali Mat Ghani dari Kampung Teluk Pasu di sini, hari ini.

Gambar Razali atau lebih mesra dengan panggilan Paxli cedera di tangan akibat ditanduk kerbau liar ketika menangkap haiwan itu di Kampung Durian Mentagau, Dungun pada Ahad lalu tular di media sosial sejak semalam.

Paxli berkata, dia bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan akibat kejadian berkenaan.

"Saya bernasib baik kerana sempat menghalang kerbau itu daripada menanduk bahagian anggota badan yang lain.

"Tangan kanan pantas menahan daripada ditanduk kerbau yang agresif itu menyebabkan tapak tangan kanan mengalami kecederaan.

"Dua rakan yang berada berhampiran segera membantu dan menghalang kerbau betina itu daripada terus menyerang saya," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Felda Jerangau dan menerima lima jahitan di tapak tangan kanan itu.

"Selain kecederaan itu, bahu tangan kanan juga terseliuh dan perlu menjalani rawatan urutan tradisional.

"Kejadian diserang kerbau sudah menjadi kebiasaan, malah merupakan asam garam sebagai penangkap kerbau liar.

"Kali terakhir saya diserang kerbau liar pada 2009 dan mengalami kecederaan yang lebih teruk pada rusuk dan kaki kanan seterusnya terpaksa berehat lama," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah serik dan trauma dengan kejadian diserang kerbau liar itu.

"Saya mula menangkap kerbau liar secara serius ketika berusia 21 tahun dan dalam tempoh itu pelbagai cabaran dan pengalaman yang menakutkan pernah dihadapi," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 5:45pm
d