mutakhir

Mana mau lari? Kejar 'pengotor' sampai ke rumah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gombak: Guna kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa lokasi 'panas' bagi mengesan kegiatan sindiket atau individu yang membuang sampah pukal secara haram.

Itu tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mengekang kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja melonggokkan sampah di lokasi tidak dibenarkan.

Terbaru, lima individu dikenakan kompaun kelmarin, selepas dikesan membuang sampah secara haram di Pasar Seri Gombak di sini.

MPS dalam kenyataannya tadi memaklumkan, hasil bukti rakaman CCTV dipasang itu, pihaknya berjaya mengesan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan itu.

"Berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan dirakam CCTV, kami membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti pemilik kenderaan.

"MPS juga datang sendiri ke kediaman pesalah dan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 kepada individu terbabit mengikut Seksyen 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007.

"Untuk rekod, tindakan ini adalah kali kedua diambil terhadap individu yang membuat pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, pada 19 Februari lalu, kompaun sebanyak RM1,000 dikeluarkan terhadap pemilik lori yang dikesan melalui rakaman CCTV kerana membuang sampah secara haram.

"Pelaksanaan pemasangan CCTV di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas pembuangan sampah haram di sekitar Selayang ini adalah inisiatif MPS bagi membendung kegiatan pembuangan sampah haram yang terus berleluasa.

"MPS memandang serius kegiatan ini dan akan terus agresif dalam membuat pemantauan dan memburu mana-mana individu yang melakukan pembuangan sampah haram ini," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 5:48pm
d