mutakhir

KKM nilai risiko sebelum tutup premis [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan penilaian risiko bagi mengenal pasti sama ada sesebuah premis itu perlu ditutup atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penilaian akan dilakukan jika kawasan berkenaan mempunyai lebih lima kes positif Covid-19.

"Kita (KKM) akan lihat kepada lokaliti tempat berkenaan sama ada tempat itu ada ruang dan sebagainya. Kita akan menjalankan penilaian risiko pada tempat terbabit.

"Kalau ruang besar seperti pusat beli-belah akan dinasihat melakukan nyahkuman atau nyahcemar di kawasan itu. Tapi kalau ruang sempit seperti restoran, mungkin kita akan tutup," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan KKM terhadap premis yang dikunjungi individu positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menghargai tindakan proaktif pusat beli-belah yang membantu dalam langkah kawalan dan pencegahan.

"KKM perlu menjalankan siasatan terperinci sebelum menyatakan sesuatu kawasan sebagai berisiko tinggi atau 'hotspot'.

"Penentuan hotspot adalah berdasarkan lokasi kes positif dan lokasi berpotensi menjadi punca penyebaran Covid-19," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa menggunakan aplikasi MySejahtera dan berkongsi maklumat terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 7:42pm
    d