mutakhir

Mengamuk nak tikam bapa mentua

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Menantu setan. Itu tindakan seorang lelaki yang bukan sahaja menghisap dadah dalam rumah mentuanya, malah turut cuba menikam bapa mentuanya di Jinjang, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 68 tahun berada di rumah terkejut apabila suspek, 40, tiba-tiba mengamuk dan cuba menikamnya dengan pisau.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, isteri mangsa berjaya menghalang perbuatan suspek sebelum lelaki itu kembali tenang sebelum menarik isterinya masuk ke dalam bilik.

"Mangsa terus menghubungi anak lelakinya yang datang ke rumah itu sejam kemudian dan mengetuk pintu bilik meminta suspek keluar.

"Tidak lama kemudian, suspek keluar dari bilik dan terus beredar dengan membawa beg pakaiannya," katanya.

Shanmugamoorthy berkata, siasatan awal suspek tinggal bersama keluarga mentuanya sejak enam tahun lalu.

"Suspek didakwa pernah beberapa kali menghisap dadah di dalam bilik tidurnya.

"Kejadian mungkin berlaku disebabkan pengaruh dadah dan kita sedang mengesan suspek yang melarikan diri," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 7:42pm
d