mutakhir

2 ahli Geng Yoges dicekup

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Dua lelaki dipercayai anggota Geng Yoges ditahan selepas terlibat dalam empat kes samun dan mencederakan mangsa.

Kedua-dua suspek berusia 25 dan 34 tahun itu ditangkap pada 27 hingga 29 September.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, sebelum itu, lelaki warga Bangladesh bersama rakannya dilaporkan disamun oleh dua lelaki menggunakan parang dan kayu, kira-kira 8.30 malam 26 September lalu di rumah kongsi tapak pembinaan di Jalan Yap Tau Sah dekat sini.

Katanya, dalam kejadian itu, dua lelaki berkenaan melarikan dua telefon bimbit, wang tunai, satu mesin dril dan satu mesin 'laser levelling' dengan nilai keseluruhan dianggar RM7,000.

"Bertindak atas maklumat yang diberikan, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melakukan siasatan dan serbuan ke atas beberapa kediaman di Kluang, Renggam dan Simpang Renggam.

"Hasil daripada serbuan itu, Polis berjaya menangkap dua lelaki selain merampas kad pengenalan milik individu lain, dua topi keledar, tiga telefon bimbit, resit hotel, sebuah motosikal Honda Ex5, sebuah motosikal Yamaha Ego, surat jual beli, Hand Drill dan sebatang kayu," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah methamphetamin selain seorang suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Kedua-dua lelaki itu kemudiannya dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 6 Oktober bagi membantu siasatan berkaitan kes-kes samun dan mencederakan mangsa," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 11:22am
d