mutakhir

MBS, TNB serbu 9 premis curi elektrik

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu sembilan premis dipercayai membuat sambungan elektrik secara haram bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin di Mantin dan Nilai Impian, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hamizam Ahmad berkata, perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi beroperasi 24 jam.

"Terdapat empat premis yang menjalankan aktiviti itu di Taman Seraya, Batu 12 Jalan KL-Mantin, Bandar UTL dan Kawasan Perindustrian Ringan.

"Manakala premis yang lain beroperasi di Taman Delfina dan Laman Dahlia Nilai Impian serta Taman Timur Enstek.

"Siasatan mendapati sembilan premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen dan mencuri elektrik. Walaupun ada meter di bahagian atas pintu premis, ia hanya untuk kegunaan lampu bagi mengelirukan pihak berkuasa dan pemotongan bekalan elektrik dilakukan pihak TNB," katanya ketika ditemui.

Hamizam berkata, kompaun dikeluarkan terhadap premis mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) Perlesenan Tred 1996.

Beliau berkata, kesemua peralatan dalam premis berkenaan membabitkan bitcoin disita.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau dan melakukan operasi terhadap premis perlombongan matawang bitcoin yang dilihat semakin bertambah di daerah ini.

"Kegiatan perlombongan bitcoin ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB tetapi boleh mengundang kecelakaan seperti kebakaran berpunca litar pintas.

"Kawasan yang mempunyai kegiatan perlombongan matawang bitcoin juga boleh merosakkan sistem bekalan elektrik, sekali gus menjejaskan pengguna lain," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 12:11pm
d