mutakhir

Mohamaddin setuju beri keterangan pada polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi sudah bersetuju untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataannya mendakwa insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 sebagai sandiwara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, temu janji dibuat polis itu sudah dipersetujui Mohamaddin bagi membolehkan rakaman percakapan dilakukan.

Menurutnya, sehubungan itu, pasukan JSJ Sabah akan merekod keterangan beliau dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Satu pasukan ditubuhkan terdiri daripada JSJ Sabah (akan rekod percakapan bekas menteri itu)," katanya pada sidang media, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan sebanyak 72 laporan polis terhadap Mohamaddin berhubung kenyataannya mendakwa insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 sebagai sandiwara, diterima, setakat ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 49 laporan dibuat di Sabah, manakala bakinya dibuat di Semenanjung.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamaddin memohon maaf kepada seluruh anggota keselamatan berikutan video tular mempersendakan pasukan keselamatan.

Mohamaddin dilaporkan berkata, kenyataan yang diucapkan dalam video klip terbabit menimbulkan salah faham.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 3:02pm
d