mutakhir

Patuhi SOP elak penularan mendadak Covid-19

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama di kawasan yang terkesan dengan Covid-19 adalah penting bagi mengelakkan penularan pandemik itu secara mendadak.

Ketua Pegawai Operasi Putra Specialist Hospital Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penjagaan diri seperti pemakaian pelitup muka mengikut spesifikasi ditetapkan juga akan membantu memutuskan rantaian wabak.

Katanya, ramai yang mengambil mudah soal pelitup muka tiga lapis, malah ada yang memakainya sekadar mematuhi syarat tanpa mengetahui kesan kepada orang ramai.

"Pelitup muka berfesyen kebanyakannya tidak menepati piawaian. Seseorang boleh menjangkiti dan dijangkiti jika pelitup muka terlalu nipis.

"Jadi, pastikan pemakaian pelitup muka tiga lapis kerana ia boleh menghindari jangkitan. Mereka yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Sabah juga perlu pastikan saranan ini dipatuhi," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memakai pelitup muka secara berulang dan hadkan hanya sekali pakai saja.

Ia penting bagi mengelakkan faktor jangkitan persekitaran akibat penggunaan berulang.

"Selain itu, amalkan kuarantin di rumah dengan disiplin untuk mengurangkan pergerakan, menyentuh barangan dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Paling penting, jaga kebersihan tangan, mata dan hidung kerana ia wabak boleh merebak menerusinya.

"Kepada yang pulang dari Sabah dalam seminggu ini, pastikan menjalani kuarantin dan pemantauan selama 14 hari untuk memastikan mereka bebas sepenuhnya daripada jangkitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 3:12pm
    d