mutakhir

'Tolong doakan Daud Kilau lekas baik' [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bagan Datuk: "Saya doakan semua (peminat) panjang umur dan murah rezeki, doakan juga Daud Kilau lekas baik. Kalau tak baik tidak apa, (tapi) kalau saya 'pergi', doakan selamat pergi dan sedekahkan al-Fatihah," kata Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82.

Penyanyi lagu hit 'Sirih Pinang' yang menaikkan namanya dalam industri seni tanah air, M Daud Kilau atau Muhammad Daud Kilau berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu.

Beliau yang menghidap kencing manis kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran.

"Sejak sakit saya tidak dapat penuhi jemputan (persembahan), nak berjalan pun sudah tidak lalu sangat dan solat juga atas bangku.

"Saya bergantung dengan ubat dan tiga bulan sekali akan ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk pemeriksaan kesihatan. Saya kini banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ziarah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, M Daud Kilau turut menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri.

M Daud Kilau yang tinggal bersama isteri, Datin Rohani Awang Ngah, 63, dan anak lelakinya turut mengakui rindu untuk beraksi di pentas dengan menggayakan baju labucinya.

"Saya sayang dan merindui peminat saya. Kalau kesihatan sudah baik, InsyaAllah akan memenuhi undangan dan bertemu mereka.

"Hari ini saya rasa seperti penyakit sudah hilang separuh kerana ramai yang datang melawat dan membawa rezeki. Saya bersyukur dan tidak dapat membalas budi baik itu," katanya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkaitan akan melihat bantuan yang bersesuaian untuk penyanyi veteran itu.

"Kita prihatin dengan keadaan kesihatan Datuk M Daud Kilau yang uzur ketika ini dan Baitulmal akan membuat pemeriksaan lanjut untuk melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 4:40pm
d