mutakhir

Syukur, Aqilah boleh keluar wad minggu ini...

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dijangka akan keluar daripada wad minggu ini selepas menunjukkan perkembangan sangat positif.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Nor Aqilah hari ini menjalani rawatan fisioterapi dan akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan di bahagian otak.

"Buat masa ini, perkembangan Nor Aqilah semakin positif tanpa menunjukkan sebarang kemurungan selepas dimaklumkan cerita sebenar dan juga kematian kakaknya.

"Dia yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin akan dirujuk ke HKL untuk pemeriksaan bahagian otak.

"Pada masa sama, doktor turut memaklumkan bahawa dia akan dibenarkan keluar wad minggu ini memandangkan dia memberi maklum balas positif," katanya di sini, hari ini.

Khamis lalu, Nor Aqilah dilaporkan sedar daripada koma selepas seminggu menjalani rawatan.

Pada kejadian 16 September lalu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri serta kembar, Nor Adilah dan Nor Aqilah, masing-masing berusia 21 tahun, berhenti rehat hingga tertidur di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah.

Keempat-empatnya bagaimanapun ditemui tidak sedarkan diri oleh bapa kepada seorang daripada mereka dalam kenderaan yang dinaiki akibat terhidu karbon monoksida.

Sharifah Fariesha disahkan meninggal dunia di lokasi manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Nor Adilah pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Manakala Nor Aqilah yang memandu kenderaan itu menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 5:00pm
d