mutakhir

Pemimpin politik kuarantin diri balik PRN

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Beberapa pemimpin politik menjalani kuarantin selepas pulang dari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.

Antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini menunggu keputusan ujian saringan mengenainya.

Ismail Sabri berkata, ia penting bagi memastikan pencegahan jangkitan Covid-19 dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti disyorkan kerajaan.

Menurutnya, dia menjalani saringan dan kuarantin di rumah sebaik pulang dari Sabah sehingga mendapat keputusan.

"Nasihat saya kepada yang balik dari Sabah, pastikan status kita jelas sebelum bergaul dengan keluarga.

"Jika tidak, keluarga kita juga berisiko terkena jangkitan ini. Sebab itu balik terus jalani ujian dan kuarantin.

"Kalau sudah bebas sekali pun, elakkan daripada berada di tempat ramai, patuhi SOP untuk kita benar-benar pastikan kita semua selamat," katanya.

Selain Ismail Sabri, antara nama lain yang turut menjalani kuarantin ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dia menjalani kuarantin di rumahnya sehingga minggu depan.

"Ya. saya sedang kuarantin di rumah sampai minggu depan. Alhamdulillah, setakat ini ahli Armada juga bebas dari jangkitan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, beliau menjalani kuarantin di sebuah hotel selepas ujian saringan beberapa hari lalu.

Menurutnya, jentera parti daripada negeri itu semuanya disahkan negatif Covid-19 dan masih menjalani kuarantin di beberapa lokasi sehingga semuanya selesai.

"Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan dengan baik dan kita mengikut prosedur sedia ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 5:08pm
    d