mutakhir

Tunggu SOP dikeluarkan sebelum tetapkan kos umrah

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Agensi pengelola umrah disaran menunggu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum menetapkan kos dikenakan kepada jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, buat masa ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi belum mengeluarkan SOP untuk pelaksanaan ibadah umrah dalam suasana Covid-19 yang masih belum pulih.

"SOP yang dikeluarkan nanti akan menetapkan bilangan jemaah dalam penerbangan, bilangan jemaah bilik penginapan, bilangan jemaah dalam bas dan lain-lain termasuk kos pengangkutan dan penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan.

"Pertambahan kos menunaikan umrah melebihi RM3,000 seperti diuar-uarkan sebuah akhbar tempatan adalah anggaran yang dinyatakan pihak tertentu sebelum SOP dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan mendapatkan maklum balas Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dan tidak ada sebarang pengumuman terbaharu daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung hal itu.

"Kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan perkembangan semasa dan terkini daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta bekerjasama dengan agensi pengelola umrah bagi memudahkan pelaksanaan ibadah umrah bagi umat Islam di Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 5:21pm
    d