mutakhir

Kasih adik terhadap abang [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Seorang pemuda memikul tanggungjawab menjaga abang kandungnya yang terlantar sejak empat tahun lalu di Kampung Belukar, Pulai Chondong, di sini.

Mohd Faizal Mohd Makhtar, 36, berkata, dia mengambil alih tugas menjaga Mohd Shaiful, 41, kerana tidak mahu membebankan kedua-dua ibu bapa mereka yang sudah uzur.

Katanya, abangnya itu pernah berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, namun mereka sudah berpisah sejak enam tahun lalu dan isteri serta anaknya ada datang menjenguk untuk bertanya khabar.

"Sejak abang terlantar akibat diserang penyakit saraf sehingga kaki dan tangannya menjadi keras sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri, saya memikul tanggungjawab menguruskan segala keperluannya termasuk memberi makan dan minum serta menukar lampin pakai buang.

"Kira-kira 20 tahun lalu, abang pernah terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari pasar malam apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain menyebabkan dia parah sehingga terkeluar tulang paha dan dirawat di Hospital Machang lebih sebulan sebelum dibenarkan pulang.

"Doktor memberitahu, mungkin kesan daripada kecederaan dialami susulan kemalangan itu menyebabkan abang mengalami masalah saraf sehingga menyebabkan dia tidak boleh berjalan," katanya.

Anak kelapan daripada 10 beradik ini berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM200 untuk membeli lampin pakai buang dan bernasib baik kerana abangnya itu mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

"Sejak abang sakit dan perlu menjaganya, ada masanya saya tidak dapat keluar menoreh kerana mengurus rutin harian seperti memberi makan, minum dan memandikannya selain menukar lampin pakai buang.

"Wang bantuan diperolehi abang digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluannya pada setiap bulan dan setakat ini, kami tak pernah lagi terputus bekalan keperluannya.

"Saya tidak pernah menganggap menguruskan abang ini sebagai beban kerana tanggungjawab dan kasih sayang adik serta melebihi segala-galanya, tambahan pula mendapat sokongan daripada adik beradik lain," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 5:24pm
d