mutakhir

Tular pecahkan cermin sisi lori, lelaki ditahan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin sisi sebuah kenderaan menggunakan senjata nunchaku besi hingga tular di media sosial memakan diri apabila ditahan polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, pada Selasa lalu sekitar 9 malam tular di media sosial mengenai satu kejadian seorang lelaki tempatan memecahkan cermin sisi sebuah lori di Jalan SS9A/1 Sungai Way, Petaling Jaya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu pada 12.45 tengah hari apabila mangsa berusia 38 tahun yang juga pemilik lori memberhentikan kenderaannya di tepi jalan lokasi kejadian untuk menghantar barang.

"Mangsa diminta mengalihkan kenderaannya ke depan bagi memberi laluan kenderaan suspek melalui jalan itu.

"Bagaimanapun, tidak berpuas hati dengan situasi berlaku menyebabkan suspek yang juga lelaki tempatan berusia 30 tahun bertindak luar kawalan dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa serta bertindak memecahkan cermin sisi lori itu menggunakan sebatang besi (nunchaku)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis Petaling Jaya menahan suspek di pekarangan Balai Polis Sungai Way, sekitar 11.50 malam tadi.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan milik suspek polis menemui sebatang besi dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 6:42pm
d