mutakhir

Tidak bimbang hantar anak ke sekolah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ibu bapa tidak bimbang menghantar anak mereka ke sekolah walaupun ada peningkatan wabak Covid-19 melanda negara, kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pengalaman barisan hadapan negara menangani pandemik itu dengan cekap dan pantas daripada merebak menyebabkan ibu bapa dan penjaga tidak risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Beliau berkata, situasi ini ternyata berbeza jika dibandingkan ketika mula-mula wabak pandemik itu melanda negara kerana ibu bapa melahirkan kebimbangan masing-masing.

"Barisan hadapan negara sudah berpengalaman menangani kes Covid-19 sebelum ini dan tindakan diambil cepat serta dapat mengenalpasti kluster menyebabkan ibu bapa tidak risau.

"Sekarang ini, tiada ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah, ia tidak berbangkit, cuma ada kes terpencil ibu bapa mengambil langkah proaktif kuarantin selepas pulang dari Sabah.

"Soal kebimbangan sekarang tidak berlaku berbanding wabak itu mula menular pada awal dulu, mungkin mereka sedar kepentingan pendidikan menyebabkan mereka hantar anak ke sekolah," katanya pada Majlis Perjumpaan Bapa dan Jabatan Angkat Pasukan Memanah Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang bakal beraksi pada kejohanan itu di Johor pada April tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 7:08pm
    d