mutakhir

Sewa kem PLKN untuk tempatkan lebihan Pati

Oleh BERNAMA

Raub: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil inisiatif menempatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Bina Negara sebagai langkah mengekang penularan Covid-19, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, pihaknya menyewa kem PLKN di Beranang, Selangor dan Kem Wawasan Negara di Langkawi, Kedah untuk menempatkan lebihan Pati di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

Beliau berkata, setakat ini, jumlah tahanan di depoh yang ada melebihi kapasiti iaitu kira-kira 2,000 orang dan hanya membabitkan tahanan di Semenanjung.

"Kami dalam perancangan menyewa satu lagi kem di Pulau Pinang untuk menampung lebihan tahanan ini. Jumlah ini masih boleh diuruskan kerana selain menyewa kem ini, pengusiran mula berjalan, sekarang kita boleh usir antara 200 Pati dalam seminggu," katanya selepas menyertai Ops Durian di Sungai Ruan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kapasiti sedia ada di DTI bagi menampung bilangan Pati.

Sehingga Isnin, seramai 26,335 Pati diusir dengan warganegara Indonesia mencatat bilangan tertinggi iaitu 11,747 orang diikuti Bangladesh (3,788) dan Thailand (2,001).

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya melaksanakan pengasingan antara Pati baharu dan lama di DTI sebagaimana disaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, mulai 1 Januari 2020 sehingga Isnin, Jabatan Imigresen menahan seramai 20,169 Pati dan 313 majikan melalui 5,479 operasi dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya warganegara Indonesia mencatat jumlah paling tinggi iaitu 7,994 orang diikuti Bangladesh (3,332), Myanmar (2,508), Filipina (1,580), Thailand (1,225), India (1,194), Pakistan (864), Vietnam (429), China (349), Nepal (342) dan lain-lain seramai 352 orang.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi lokasi penahanan Pati tertinggi dengan 3,422 orang selain Sarawak (2,741), Putrajaya (2,230) dan Sabah (1,170) manakala Wilayah Persekutuan Labuan menjadi lokasi penahanan terendah iaitu hanya 85 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 9:08pm
    d