mutakhir

Kayuh basikal ke puncak gunung Wuling

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: "Saya ada impian dan yakin Puncak Gunung Wuling mampu ditawan dengan menaiki basikal," ujar peminat sukan berbasikal, Mohammad Mos, 43,

Dia kini menetap di Taiwan sejak lebih tiga tahun lalu berhasrat mencipta nama dengan melakukan Cabaran Kayuhan Gunung Wuling Taroko, di Taiwan pada hujung minggu ini.

Cabaran kayuhan melebihi 200 kilometer (km) itu adalah trek perlumbaan basikal tahunan peserta dunia yang terkenal dengan gelaran Raja Gunung Taroko atau Taroko King of Mountains (Taroko KOM).

Laluan basikal paling sukar dan tertinggi di dunia dengan ketinggian 3,275 meter dari aras laut itu paling mencabar dan setiap peserta perlumbaan itu perlu menjalani beberapa ujian khas termasuk melepasi ujian masa.

Mohammad berkata, dia meminati sukan berbasikal semenjak tiga tahun lalu iaitu ketika berhijrah ke Taiwan untuk menemani isterinya seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di sana.

Beliau berkata, Taroko KOM adalah impian setiap pelumba basikal antarabangsa dan peminat basikal tempatan berikutan keadaan laluan di tepi gaung yang mencabar.

Menurutnya, Taiwan mempunyai bentuk muka bumi menarik dan pemandangan indah serta selamat ketika mengadakan aktiviti berbasikal.

"Saya bertekad mencipta rekod dan cabaran kayuhan ini juga diadakan sempena Hari Sukan Negara Perwakilan Malaysia di Taipei yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.

"Sebelum ini saya membuat persediaan dua bulan lebih awal dengan latihan berkayuh lapan jam sehari termasuk berkayuh di kawasan berbukit pada waktu malam.

"Saya juga membelanjakan hampir RM20,000 untuk memiliki tujuh basikal pelbagai jenama.

"Cabaran pendakian ini dijangka mengambil masa antara 10 ke 14 jam bergantung kepada keadaan cuaca dan disertai beberapa peserta lain dari Indonesia yang menetap di sini," katanya.

Sebelum ini beliau pernah mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai salah seorang peserta penerbangan paramotor pertama yang berjaya terbang merentasi laut dari Pulau Langkawi ke Alor Setar.

Selain itu, beliau juga pernah mencipta rekod dalam aktiviti kayak Malaysia - Thailand di bawah program Rakan Muda.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 11:13pm
d