mutakhir

Boleh lucut hak milik jika tanam ketum

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Kerajaan negeri Perlis sedia melucutkan hak milik tanah dan pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada mana-mana pemilik yang didapati menanam daun ketum.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, kerajaan negeri mempunyai hak untuk bertindak demikian meskipun tanah mungkin sudah diduduki pemilik untuk tempoh lama.

"Penanaman pokok ketum utara Semenanjung begitu sinonim sehingga boleh dikatakan ada rakyat yang berani menanamnya di halaman rumah.

"Mengikut perjanjian (hak milik geran tanah), kerajaan negeri berhak menarik balik atau melucutkan hak milikan tanah atau pemegang TOL jika didapati tanah yang diusahakan digunakan untuk penanaman ketum," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurulhisham berkata, sebelum ini kerajaan tidak tegas dalam isu penanaman ketum selagi penanam tidak menyalahgunakan tanaman terbabit.

"Cumanya sejak 2017 kita lebih tegas dan jika ada permohonan (geran tanah kerajaan) yang dilakukan mana-mana individu, pihak berwajib akan memeriksa keadaan tanah terlebih dahulu sebelum geran diluluskan.

"Kita juga tetapkan setiap individu mesti menyatakan secara spesifik jenis tanaman yang akan ditanam ketika membuat permohonan tanah TOL di Pejabat Tanah dan Galian (PTG)," katanya.

Semalam, polis bertindak menebang tanaman pokok ketum di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Padang Besar selepas mendapati kegiatan jenayah berkaitan daun ketum semakin berleluasa.

Tindakan itu dilakukan mengikut Akta Tanah 1960 bagi kawasan penempatan berkelompok seperti FELDA dan institusi lain memandangkan tiada akta khusus yang membenarkan tindakan penebangan berkenaan.

Berita berkaitan

Polis Perlis tebang pokok ketum [METROTV]

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 11:26am
d