mutakhir

Wakil rakyat mohon DBKL beri tempoh sebulan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Beberapa wakil rakyat di Kuala Lumpur memohon agar Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbangkan untuk tidak mengenakan saman terhadap pengguna tempat letak kereta bahu jalan dalam tempoh sebulan ini.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka memaklumkan arahan terbaharu itu pasti memberi kesan kepada pengguna yang perlu bertukar daripada aplikasi lama kepada baharu, termasuk isu baki akaun JomParking yang perlu dipindahkan atau dipulangkan kepada pengguna.

"Pengguna yang tidak biasa menggunakan e-wallet juga akan terkesan dengan ketiadaan mesin pembayaran fizikal dan kempen kesedaran bersesuaian juga perlu dilaksanakan segera," menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan sembilan Ahli Parlimen iaitu Tan Kok Wai (Cheras); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), P. Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Datin Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju).

Semalam, DBKL memaklumkan kaedah baharu bagi pembayaran caj tempat letak kereta bahu jalan di ibu negara bermula hari ini dengan menggunakan salah satu aplikasi mudah alih dan e-dompet iaitu EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash bagi menggantikan penggunaan mesin.

Kenyataan bersama itu turut meminta agar isu baki akaun JomParking diselesaikan dengan segera, sama ada dengan pemindahan baki daripada akaun JomParking ke mana-mana akaun e-wallet lain yang dipilih pengguna atau dengan pemulangan baki penuh kepada pengguna.

"Sebagai wakil rakyat Kuala Lumpur, kami akan terus memantau isu ini dan bersedia membantu DBKL dan pengusaha JomParking untuk mencari penyelesaian terbaik demi kebaikan warga Kuala Lumpur. Kami berharap isu ini akan dapat diselesaikan segera dengan cara yang terbaik," menurut kenyataan itu.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 3:10pm
d