mutakhir

Maut tersepit dalam pengisar kacang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Tukang masak maut akibat tersepit dalam mesin pengisar kacang di sebuah rumah di Taman Keramat, di sini, hari ini.

Wanita warga Indonesia berusia 40-an itu meninggal dunia kerana kecederaan parah di badan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Shahrin Yusma Mat Yusof berkata, seramai 19 anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kejadian pada 9.01 pagi.

"Sebaik tiba, kita mendapati mangsa tersepit pada mata mesin pengisar itu.

"Anggota bertindak dengan membuka dan memisahkan mata mesin pengisar yang menembusi badan mangsa menggunakan pemotong hidraulik serta spanar," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Ampang dan kes diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 3:40pm
d